Wednesday, September 2, 2009

Definisi bahagia


DEFINISI BAHAGIA
Takrif dan definisi bahagia itu akan dilihat dan dinilai dengan cara yang berbeza-beza, sesuai dengan tahap kesihatan manusia itu sendiri dari segi fizikal, mental dan spiritual. Manusia yang
kurang sihat di mana-mana sudut, akan menilai kebahagian itu berdasarkan kekurangan yang dialaminya, lalu ini akan menyebabkan takrif yang didatangkannya bukan definisi kebahagian
yang hakiki. Hanya manusia yang mempunyai kesihatan yang maksima pada ketiga-tiga sudut yang disebutkan itu sahaja yang mampu mendefinisikan makna kebahagian dengan definisi yang hakiki.

Sebenarnya istilah "bahagia" itu adalah suatu perkara yang unik dan terlalu seni untuk didefinisikan secara tepat, apatah lagi jika ia ditakrifkan oleh bermacam orang yang sudah tentu bermacam-macam pula ragamnya. Hanya dengan menggunakan kaca mata Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sahaja definisi bahagia itu dapat dirungkaikan dalam bentuk amalan, sekalipun ianya tidak berjaya diungkaikan oleh lidah yang tidak bertulang berupa sesuatu lafaz atau ucapan kata-kata. Bahkan kalau dikira, definisi yang dirungkaikan dalam bentuk praktik itulah yang lebih tepat dari definisi yang berjaya diungkaikan dan diungkapkan melalui kata-kata atau ucapan.

Sebagai contoh: Orang miskin akan mentakrifkan kebahagiaan itu berdasarkan kekurungan yang ada pada dirinya yang ia terlalu ingin untuk milikinya dari segi harta benda dan kemewahan,sedangkan orang kaya yang sudahpun bermewah-mewah dalam kehidupan, kadang-kadang melihat bahawa kehidupan si miskin lebih bahagia berbanding dirinya.

Jadi, apakah yang mereka ingin nyatakan tentang takrif kebahagiaan itu sebenarnya? Ini bermakna rasa bersyukur dengan kemewahan dan reda dengan kemiskinan sahaja, masih belum cukup untuk mentafsirkan makna kebahagiaan. Pendek kata kebahagiaan itu bukanlah apa yang dinilai oleh nafsu yang suka kepada kehidupan serba mewah, bukan juga oleh jasmani kita yang kadang-kala tertipu oleh kebuasan nafsu lalu hidup merana dan menderita, bahkan bukan juga terletak kepada kepintaran akal yang memikirkan akan betapa patutnya menggapai cabang-cabang kebahagiaan yang dianggapnya sebagai tempat yang paling patut untuk berpaut. Sekaligus bukan pula takrif yang didendangkan oleh hati yang kadang-kadang berlaku seperti pepatah Melayu : "Ikut hati mati, ikut rasa binasa".

Sumber:
http://alumnigayonguia.tripod.com/artikel/alquran1.htm

0 comments: